Tuesday, January 19, 2010

IBADAT TU APA

Assalamualaikum wmwth
Saya mengingatkan diri saya dan anda supaya bertaqwa kepada Allah.
Kita telah diberi kebebasan berfikir, membuat ulasan dan membuat keputusan. Namun demikian kita tidak bebas lepas dari pertanggungjawaban kepada Allah. Kita atau seorang itu mungkin memilih untuk berkecuali dalam ugama, atau ethies. Atau berfikiran bahawa ugama ini hanya membebankan dan mengganggu keinginan dalam diri. Ugama selalu menakutkan, selalu menghalang, selalu memaksa dan lain lain tanggapan negetif. Memang Allah telah menetapkan nasib kita yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Kita mungkin telah ditakdir ke neraka atau ke syurga, yang kita tidak mengetahuinya. Lantaran kita tidak mengetahui inilah kita wajib berusaha dan berjihad mencari hidayat, petunjuk dan bimbingan Allah dan rasulNya.

Allah telah berfirman melalui wahyuNya kepada rasulNya Muhammad SAW yang sekarang ini telah dibukukan dan dicetak dengan makna dan terjemahannya. Firman Allah ini adalah hak, satu yang benar bukan nya batil . Kerana itu janji Allah juga adalah hak, benar dan Allah tidak akan munkir janji walaupun Dia mampu dan berkuasa melakukan apa saja dan tidak ada makhluk yang boleh bertanya padanya di akhirat kelak. Namun Allah menjelaskan sifat sifatNya kepada kita seperti penuh kasih sayang, adil dan tidak menzalimi.

Allah berjanji untuk memberi perlindungan, keampunan dan pembalasan syurga kepada hamba hambanya yang ikhlas dan taat kepada perintahNya, mengikuti sunnah nabiNya. Dia juga berjanji berlaku adil pada hamba hambanya, iaitu mengazab mereka yang syirik kepadanya, yang melakukan maksiat dan tidak bertaubat secara yang betul dan ikhlas, dimana dia berhak mengampuninya atau membalas perbuatan jahat hambaNya itu.

Manusia dan jin dijadikan untuk beribadat kepada Allah. Ini tujuan dan maksud dari Allah sendiri yang menjadikan makhluk itu. Dia lebih tahu dan lebih berhak menentukan tujuan tersebut kerana kita ini hak milik penuh Allah. Maka jika kita mahu selamat , adalah wajar untuk kita memahami tujuan ini dan mengambilnya sebagai matlamat hidup kita, barulah tidak bercanggah dan selari antara tujuan Allah dan matlamat hidup kita.

Ibadat tu bermakna kita menyembah, beribadat atau mengabdikan diri kepadaNya. Ini membawa kepada tunduk dan patuh kepada segala arahan suruhan dan laranganNya. Untuk memahami bagaimana bentuk peribadatan yang sah, betul , yang dikehendaki Allah maka tidak ada jalan lain selain dari mengikut apa yang di ajar dan ditunjuk serta diamal oleh rasulullah SAW. Cara ibadat yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad itu telah lengkap, sempurna dan memenuhi makna beribadat kepada Allah. Beliau menunjukkan tatacara kepatuhannya kepada kehendak dan perintah Allah dalam semua lapangan hidupnya.

Antara yang dapat disebut adalah peribadatan khusus pada Allah seperti melaksanakan rukun Islam, mengimani dengan yakin semua rukun iman, melakukannya dengan ikhlas untuk mencari keredhaanNya . Begitu juga tindakannya dan amalannya di dalam keluarga, jiran tetangga dan masyarakat. Beliau mletakkan nilai dan prinsip perhubungan dan pentadbiran dalam urusan yang kecil dan besar, urusan persendirian dan orang ramai , urusan beramal dan berdakwah, urusan perdamaian dan peperangan dan pentadbiran masyarakat dan negara.